Kita bukan Lemah
11/12/2014, 01:09, 0 comments
Kita Bukan Lemah
Buta lagi miskin. Jauh dia berjalan menempuh laluan berliku
yang tidak dapat dilihat pun oleh matanya. Bersungguh dan gagah kakinya
melangkah ke teratak ilmu Nabi Muhammad S.A.W untuk bertemu baginda.
Niat dihatinya ingin menuntut ilmu tentang Islam. Namun, baginda begitu khusyuk melayani pembesar Quraisy yang
ingin mendalami Islam sehingga tidak mengendahkan kehadirannya di majlis
tersebut.
Malah, ketika terlihat kelibat Abdullah, Rasulullah S.A.W
menarik muka masam dan berpaling daripadanya.
Kecacatan Abdullah
membuatkan Rasulullah S.A.W tidak yakin akan kemampuannya. Merasa dirinya tersisih, dia mundur. Sedih kerana langsung
tidak diendahkan oleh Rasulullah S.A.W.
-Sedih Bukan Sebab Untuk Menjadi Lemah
Saya juga pernah
merasakan yang demikian disaat saya kecewa dan sedih. Tetapi itu bukan
alasan untuk saya menjadi lemah, malah itulah punca saya menjadi lebih kuat
untuk menghadapi dugaan-dugaan mendatang. Allah menciptakan kita dengan kekuatan dan kelemahan kita
masing-masing.
Disaat Allah
memberikan kita kelemahan, disitulah Allah sisipkan kekuatan.
Kita cuma perlu
berusaha untuk mencari kekuatan itu.
Ada.
Saya pasti ia ada dalam setiap seorang yang bergelar
manusia.
Kekurangan yang kita miliki kadang-kala membuatkan kita
tidak yakin dengan kebolehan diri sendiri dan terasa kita seolah-olah
disisihkan oleh masyarakat. Tanpa mencuba kita terus membuat spekulasi bahawa kita
seorang yang lemah. Pernahkah anda
merasakan diri anda seorang yang lemah?
Semestinya. Anda akan mengalami perasaan ini jika anda
seorang manusia yang normal.
Sering kali terdengar ungkapan ini sama ada di kaca
televisyen atau dunia realiti. “Saya hanya manusia biasa yang lemah, tidak mampu berbuat
apa-apa selain pasrah dengan setiap ketentuan Allah.”
Salah! Sangat salah untuk kita berpegang pada kata-kata ini.
Tatkala kita merasa sedih, jangan takut. Merasa sedih itu
biasa. Jika ada manusia yang tidak pernah merasa sedih, maka dia bukan manusia. Sedangkan Rasulullah S.A.W juga pernah merasa sedih yang
amat ketika kehilangan datuk dan isteri kesayangannya. Baginda juga pernah
berasa tidak mampu menanggung beban sehingga pergi memencilkan diri buat
sementara waktu semata-mata untuk mengembalikan keyakinan hidup baginda.
Allah.
Inikan kita cuma insan biasa, yang tidak pun maksum, malah
sering kali bergelumang dengan dosa, merasa sedih itu patut ada dalam diri
kita.
Sambung kisahnya.
-Elak Pandang Rendah
Maka turunlah firman Allah yang menegur tegas sikap
Rasulullah yang tidak mengendahkan seseorang yang kurang upaya seperti
Abdullah, yang disebut dalam kitab Allah yang Agung:
“Dia (Muhammad) berwajah masam dan berpaling, kerana seorang
buta telah datang kepadanya. Dan tahukah engkau (Muhammad) barangkali dia ingin
menyucikan dirinya (daripada dosa), atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran,
yang bermanfaat kepadanya? Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup
(pembesar-pembesar Quraisy), maka engkau (Muhammad) memberi perhatian
kepadanya, padahal tidak ada (cela) atasmu kalau dia tidak menyucikan diri
(beriman). Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersegera (untuk
mendapatkan pengajaran), sedang dia takut (kepada Allah), engkau (Muhammad)
malah mengabaikannya. Sekali-kali jangan (begitu)! Sungguh (ajaran-ajaran
Allah) itu suatu peringatan."
(‘ Abasa : 1 - 11 )
Kita merasakan kita tidak mampu menjadi manusia yang dapat menandingi
manusia yang lain.
Tidak.
Manusia lain juga
tidak hebat. Mereka tidak lahir dan terus menjadi hebat.
Mereka berusaha untuk
menjadi hebat. Jadi kenapa kita harus berfikir kita lemah dari manusia lain?
Mereka juga manusia seperti kita, mempunyai kebolehan
berfikir dan berdikari yang sama untuk memajukan taraf hidup masing-masing.
Pasti banyak perkara
yang terjadi dalam hidup ini membuat kita bersedih dan kecewa.
Satu perkara yang
kita tahu sejak azali lagi, bersedih bukan bermakna kita lemah. Titisnya setiap
airmata bukan bermaksud kita lemah.
Allah jadikan setiap
airmata itu dengan seribu satu kekuatan dan hikmah yang besar. Jadi jangan sesekali kita menangis untuk benda yang sia-sia.
"Kita hidup bukan untuk mengejar kesempurnaan hidup .
Kita hidup untuk menyempurnakan aspek kehidupan kita di akhirat kelak . Duit
yang banyak dan syarikat yang berjaya bukan matlamat kita. Kenapa kita harus
bersedih atas kehilangan benda-benda sebegitu?" -Kak Senior
Betul. Sedih dan merasa lemah adalah dua perkara yang
berbeza tetapi mereka amat berkait antara satu sama lain.
Kerana kita merasa
kecewa, kita akan bersedih.
Bersedih terlalu lama
dan enggan bangun dari kekecewaan yang kita alami, maka kita akan menjadi
lemah.
Lemah di sini merujuk
kepada perasaan yang tidak yakin terhadap kemampuan diri sendiri.
Kita sering kali merasa rendah diri dan merasa diri kita
kurang daripada orang lain.
Sejak mendapat teguran ini, Rasulullah sedar akan
kesilapannya dan mula melayani dan memenuhi segala keperluan Abdullah setiap
kali dia bertandang. Satu contoh yang mana kita harus membuka mata, dengan
kelemahan kitalah kita boleh menjadi kuat. Kita merupakan hamba Allah yang paling bertuah di muka bumi
ini selagi mana kita ditimpa masalah. Berhenti merasakan diri kita lemah, cuma kita perlu tahu
yang kita ada kelemahan dan kelemahan itu adalah sesuatu yang kita boleh atasi
dengan usaha dan tawakkal.
Ingatkah anda pada kalamullah yang disebut dalam kitab-Nya
yang agung yang bermaksud :
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan
kesanggupannya ”. -(Al-Baqarah : 286 )
Allah menghadiahkan
musibah ke atas hamba-Nya sebagai tanda sayang, kerana Dia tahu hamba-Nya mampu
untuk menyelesaikan setiap musibah yang diberikan.
Setiap masalah yang
ada di muka bumi ini ada jalan penyelesaiannya, jika kita manusia berusaha
mencari solusinya.
Jika kita enggan menerima musibah daripada Allah, siapakah
kita ini?
Sedangkan nabi-nabi Allah, termasuk kekasih Allah Nabi
Muhammad S.A.W juga menerima musibah yang hebat semasa hayat mereka. Dan mereka
menerimanya dengan hati yang terbuka dan menganggapnya sebagai satu nikmat
kehidupan.
-Pasrah vs Redha
Pasrah itu berbeza dengan redha. Selagi anda berusaha, anda
tidak lemah. Selagi anda berharap pada Allah dan berdoa kepada-Nya, anda tidak
lemah. Allah memberikan kita kekuatan untuk bertahan di muka bumi ini, kenapa
kita harus mengiktiraf diri kita lemah?
Orang yang kuat mentalnya tidak akan sesekali mengiktiraf
dirinya lemah dan mengaku kalah pada masalah yang dihadapinya.
Kita seharusnya bersyukur kerana dilahirkan sebagai seorang
Muslim dan merupakan pengikut kepada kekasih Allah yang mulia.
Kita mempunyai seorang idol yang cukup tabah ketika hayat
baginda S.A.W. Adalah sangat tidak wajar untuk merasa lemah terhadap diri
sendiri jika mempunyai seorang pemimpin yang berwibawa seperti baginda. Kita
umatnya dan kita harus mengikut setiap apa yang diajarkan kepada kita.
Merasa lemah bukanlah sesuatu yang ditegah. Dengan merasa
lemah, kita tahu di mana taraf kita sebagai manusia di muka bumi ini. Namun,
ada sesetengah perkara yang perlu kita titikberatkan untuk sentiasa maju dan
tabah dalam kehiduan seharian kita.
Ada manusia yang menanggap dirinya sudah tabah dan enggan
menitiskan airmata lagi akibat kecewa dengan peristiwa lampau. Mungkin ada yang
berfikir mereka itu nabi, kita ini cuma manusia biasa, mereka tidak sama dengan
kita.
Pemikiran itu salah
sama sekali.
Para nabi bukan malaikat.
Para nabi juga manusia.
Sama diciptakan dari tanah seperti kita yang hidup pada
tahun 2014 ini dan tahun-tahun sebelumnya. Yang membezakan kita dengan para
nabi ialah mukjizat. Mereka manusia terpilih di sisi Allah.
So kita kena sentiasa sado gitu?
-Dakwah Hijrah/Nawrah Iman-